Saturday, 16 February 2013
Seorang Insan
Dia yang hidung separuh mancung
Dia yang bermata seakan hitam keperangan, bertanda hitam kecil di pipi kiri, fizikalnya kurus dan sederhana tinggi.
Dia jenis yang tegas apabila dalam menjalankan kerja dan dia jenis yang “sempoi” tidak suka berhias dan hanya suka berpakaian biasa “slumber” .
Dia yang pernah ku kenali pada awalnya memang seorang yang lantang bersuara bila ingin bertanya. Aku sangkakan dia ini seorang yang jenis pemalu. Kali pertama ku melihat dia dengan tanpa segan silu mengangkat tangan dan bertanya. Anggapan ku ketika itu, dia ini seorang yang berpengalaman. Setiap tutur dan patah perkataan yang keluar dari bibirnya begitu bersistematik dan tersusun serta begitu jelas. Tergaman ku melihatnya pada ketika itu.
Ku merasakan diri ini begitu rendah dan berada di bawah berbanding dengan dia. Akan tetapi tidak apalah itu namanya insan yang dicipta berbeza-beza di muka bumi ini.
Tiga bulan berlalu dan ku hanya mampu memerhati dia sahaja. Ku merasakan diri ini tidak boleh lagi dan belum bersedia untuk berkenalan dengan dia mahupun bersua muka dengan dia. Terasa diri ini begitu kerdil bila berhadapan dengan dia. Ku hanya memerhati sahaja apa yang dilakukan oleh dia. Setiap apa yang dilakukan, ku terpaku melihatnya. Ku ingin menjadikannya contoh untuk diikuti. Sepanjang tiga bulan yang berlalu, ku hanya mampu melihatnya dari jauh. Hati ini seakan bersuara dan mengajak ku untuk menghampirinya tetapi ku tidak terdaya.
Dia hanya insan biasa sama seperti ku. Dia jenis yang ceria. Dia selalu senyum bila berhadapan dengan seseorang. Jarang sekali ku melihatnya bermasam muka. Ditakdirkan ku dan dia digandingkan bersama untuk menjalankan tugas yang sama. Di situ bermulanya titik permulaan ku mengenalinya.
Setelah ku meluangkan masa bersamanya sepanjang menjalankan tugas, hati ku mengatakan dia seorang insan baik hati. Kadang-kala sikap dia agak kasar. Di dalam kekasarannya ada terselit kelembutan seorang insan berhati mulia. Sikapnya membuatkan ku selesa bersama dengannya. Sikapnya juga bertanggungjawab dan tidak pernah mementingkan diri sendiri. Ku kagumi dia yang tidak pernah sedetik pun terlupa akan sahabat temannya. Sebaliknya setiap detik dia memikirkan hal-hal sahabat temannya. Dia tidak putus berusaha mencuba untuk memuaskan hati sahabat teman walaupun di sebaliknya diri terseksa. Apabila ku dalam keresahan muncul dia datang memberikan pertolongan dan mungkin itu satu kebetulan seakan dia mendengar bisikan hati ku ini. Dia tidak suka menceritakan masalahnya kepada sahabat teman. Ku tahu dia sukar untuk meluahkannya. Ku juga tahu dia tidak ingin menyusahkan dan melibatkan sahabat teman dalam masalahnya. Ku pernah bertanyakan masalahnya akan tetapi apa yang keluar dari mulutnya “nanti saya cerita ya”. Setiap kali ku bertanyakan masalah itulah yang selalu ku dapat. Dia memaksa diri ku bersabar untuk mendengarnya menceritakan sehingga dia menyelesaikan sesuatu masalah yang berlaku itu terlebih dahulu. Dia telah mengajar ku erti bersabar. Insan seperti dia sangat bermakna bagi ku. Insan seperti ini telah ku pahatkan dalam ingatan selamanya. Semoga ukwah diri ku dan dia terus berpanjang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment